Showing posts with label Warisan. Show all posts
Showing posts with label Warisan. Show all posts

Saturday, 2 November 2019

Sup Sayur Pucuk Ubi

Assalamualaikum,

Sahabat dan rakan blogger semua. Selamat berhujung minggu. Semuga anda semua beroleh kesejahteraan selalu.

Hari ini Kak Mah tak kemana-mana. Pagi tadi cuma ke pekan sari, atau pasar pagi, beli sikit sayur dan lauk. Hari ini Kak Mah nak masak sayur pucuk ubi. Tapi bukan masak lemak. Hari ni Kak Mah nak masak yang special sikit. Masakan ini berasal dari Sarawak sebenarnya. Kak Mah panggil dia Sup Sayur Pucuk Ubi. Kat Srawak Kak Mah tak tahu mereka panggil apa.


Kak Mah beli pucuk ubi yang daunnya panjang ini. Kata tuan yang jualnya pucuk ubi panjang ini lebih lemak dan lembut dari pucuk yang merah tu. Kak Mah beli ajalah, nak cuba. Mereka lebih tahu dari kita kan.


Siang dan bersihkan pucuk ubi ini. Kalau boleh daun-daun yang tua tu janganlah diambil, rasanya liat dan pahit sikit. Kak Mah ambil pucuk yang muda dan lembut aja, Yang tua tu Kak Mah buang aja.


Perencahnya hanya ini, ikan bilis, bawang merah dan cili. Biasanya dia orang tambah kan serai yang dititik sebatang. Tapi stok serai Kak Mah dah kecut sangat, tak bau serai dah. Di pekan sari tadi Kak Mah terlupa pulak nak beli. Nampak gayanya kurang satu bahanlah. Tak apalah, kita cuba aja tengok macam mana rasanya bila dah masak nanti.


OK, Pucuk ubi yang dah dibersihkan tadi perlu ditumbuk sehingga lumat...


Dan jadi paste seperti ini.

 Ni Kak Mah tumbuk separuh dari satu ikat yang Kak Mah siang dan bersihkan tadi, selebihnya Kak Mah simpan untuk esok sikit.


Tumbuk semua bahan-bahan rencah tadi, panaskan minyak didalam kuali dan tumis hingga garing dan masukkanlah pucuk ubi yang dah di tumbuk tadi. Senelum itu tambahkan setengah cawan air kedalam pucuk ubi untuk mengelakkan pucuk ubi cepat hangus. Tambahkan sedikit air lagi dan garam secukupnya. Masak hingga pekat sikit dan angkatlah



Dah pun masak sup sayur pucuk ubi Kak Mah. Memang sedap.

Thursday, 31 October 2019

Gulai Maman Jeruk

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, hari ini KakMah bersiran malam lah pulak. Siang tadi tak sempat, ada kerja sikit. Esok pun tak sempat rasanya. Allah sibuknya Kak Mah ni mengalahkan PM lah pulak. Tapi tetap sempat juga nak memasak makanan kegemaran Kak Mah, lagi-lagi ada kawan Kak Mah yang akan makan bersama Kak Mah setiap makanan yang Kak Mah masak.



Petang ni Kak Mah masak gulai lemak maman jeruk yang kak Mah jeruk hari Sabtu lepas. Selepas lima hari di jeruk, maman ni dah sesuai sangat untuk dibuat gulai. Kak Mah pun apa lagi mengulailah petang ni, sebab memang kegemaran Kak Mah lah gulai maman jeruk ni. 




Maman jeruk ni memang sesuai di buat gulai berbanding maman segar kerana maman yang dah dijeruk ni akan hilang rasa pahitnya, sebaliknya maman segar walaupun direbus dahulu rasa pahitnya tetap ada lagi melainkan kalau memang suka rasa pahit maman itu. Kak Mah sendiri mana-mana pun boleh, jeruk ke segar boleh aja, semuanya sedap bagi Kak Mah. 


Nak buat gulai mesti ada santannya kan. Kak Mah kukur dan perah sendiri santannya. Santan yang di perah sendiri lebih lemak rasanya. Untuk gulai ini kak Mah gunakan semangkuk santan yang diperah dari sekerat kelapa sederhana besarnya.



Kemudian tumbuk lima biji cili hijau, lima biji aja sebab Kak Mah tak tahan pedas, seulas bawang kecil dan sepuluh ekor ikan bilis yang dibuang perut dan tulangnya. 

Masukkan santan dalam kuali, masukkan bahan tumbuk tadi dan setengah sudu teh serbuk kunyit. Kalau ada kunyit segar lagi bagus, tumbuk sekali dengan cili. hidupkan apidan kacau.


Kacau gini hah..hehe..

 Lepas yu bolehlah masukkan maman jeruk tadi. Masukkan maman saja, air jeruk tu buanglah, masaklah selama lima minit dan rasalah garamnya. Harus diingat maman jeruk ni dah masin, kena berhati-hati meletak garamnya, nanti takut terlebih masin pulak. Masukkan garam, bila dah masak angkatlah.


Dah pun masak dan sedia untuk dihidangkan. Seleranya makan nasi dengan gulai maman jeruk ni. Tambah pulak dengan goreng ikan masin. Oh ya, maman jeruk ni sedap kalau di rampai dengan ikan tenggiri atau ikan masin talang. Kak Mah cuma ada ikan bilis aja tu pasal kak mah guna ikan bilis aja. Itu pun dah sedap sangat dah.

Oklah nanti jumpa lagi dengan resipi yang lain pulak.

Wassalam


Tuesday, 29 October 2019

Ganti Tandan

Assalamualaikum,

Kak Mah sekarang ni gila memasak pulak.
Bukan apa, sebab banyak sangat menu-menu, masakan zaman dulu-dulu yang tergambar dalam fikiran Kak Mah ini. Dulu selalu buat makanan seperti ini. Tapi sekarang ni dah jarang-jarang. Sekali dia datang dalam fikiran tu bertalu-talu, mana yang boleh Kak Mah buat tu, Kak Mah nak cuba buat dan kongsikan dengan kawan-kawan. Ada sesetengah yang muda-muda tu langsung tak tahu masakan tersebut sedangkan masakan dan makanan warisan itu sangat baik dan berkhasiat dan langsung tidak ada bahan tambahan yang kadang-kadang sangat merbahaya untuk kesihatan untuk janka panjang. Bahan-bahan itu jugalah yang mengundang banyak penyakit zaman sekarang.


Nah, ini dia. Hari ini Kak Mah nak kongsi satu lagi makanan tradisional yang mak-mak ayah kita makan satu waktu dulu. Mereka tak makan roti, mereka tak makan biskut, tapi mereka makan ini untuk sarapan pagi, kadang-kadang untuk makan pagi, Kadang-kadang untuk minum petang. Satu makanan yang sangat menyengangkan dan segar dari ladang. Dibuat dari bahan yang segar bukan bahan yang telah diproses. Kuih inilah namanya Ganti Tandan.


Zaman dulu orang tua kita memasak tidak banyak menggunakan gula, cuma garam sahaja. Kuih ganti tandan ini dimasak menggunakan garam sahaja. Jagung yang telah sedia manis itu jika di gaulkan dengan garam dan kelapa yang dikukur, alangkan enaknya, lemak manis dan masin. Tapi untuk masakan Kak Mah hari ini Kak Mah buat dua rasa, satu masin dan satu manis. Tapi Ka Mah tak menggunakan gula putih, hanya gula kabung. Sebenarnya inilah manisan makanan orang tua kita dulu. Mereka jarang makan gula putih, sebaliknya hanya makan gula kabung, dan gula melaka, dan gula kelapa.


Jagung ini perlu berhati-hati semasa mengeluarkan tandannya supaya tidak putus kulitnya kerana dengan kulit itulah Kak Mah akan membungkus kuih ini nanti. Nama pun Ganti Tandan, tandan nanti akan diganti dengan isi jagung yang telah di gaulkan dengan kelapa dan garam atau gula kabung.


Jagung perlu disagat dahulu supaya halus. Kak Mah gunakan sepuluh tandan jagung manis. Sepatutnya gunakan jagung kampung yang banyak kanji tu, tapi sukar dah sekarang ni nak dapat jagung kampung, Kak Mah guna ajalah jagung manis ni. Jagungnya masih terlalu muda sepatutnya gunakan jagung yang tua sedikit supaya tidak terlalu banyak airnya. Kak Mah hiriskan sebanyak dua tandan supaya ada rasa kasar-kasar sikit.


Jagung ni masih terlalu muda. Kuihnya tidak menjadi dengan cantik kerana jagung muda banyak airnya dan kurang sagunya.


Setelah disagat, digaulkan dengan kelapa yang dikukur atau diparut, digaulkan juga dengan garam atau gula kabung, bolehlah diisi semula kedalam kulitnya yang disimpan tadi. Kemaskan dan ikat dihujungnya seperti gambar diatas. Lepas tu bolehlah dikukus selama dua puluh minit.


Beginilah rupa kuih Ganti Batang setelah masak dan disejukkan. Kuih yang dibuat dengan jagung manis ini agak lembik, perlu berhati-hati sewaktu memegangnya


Semuga bermanafaat untuk anda semua rakan-rakan blogger Kak Mah dan pengunjung Blog Lipislady.


Semuga Jumpa Lagi

WASSALAM

Saturday, 31 December 2011

Klasik Dan Menyeramkan Tangga Ini.

Assalamualaikum,

Sallam pagi Sabtu. Seronok kan, hari ini hari bercuti. Ada yang belum bangun tidur lagi ke, atau ada yang dah berada diluar rumah. Saya? Masih tercongok depan PC ni, ada gambar yang nak saya kongsikan dengan rodong2 dan pengunjung2 blog saya disini.

Apa perasaan korang kalau berada di atas tangga ini. Tengoklah bagaikan tidak ada penghujungnya tangga ini melainkan ruang kosong semata2. Saya sendiri berasa seram ketika berada ditengah2 tangga ini. Nak ke atas? kemana? Tidak ada rumah, tidak ada apa2 diatas sana. Hanya lorong dan terowong.


Ok, kalau kat sini baru rasa cerah sikit pandangan. Tapi apa ada kat atas, Tak ada bangunan, tak ada rumah. Kemana destinasi saya sebenarnya. Tangga ni nampak cantik lagi. Macam baru di cat dan diganti tile atau mat-mar. Tapi agak kotor, penuh dengan sampah sarap. pastinya dedaun kering yang berguguran, tiada siapa yang membersihkannya.

Ah, tetiba datang pula nostalgia zaman lampau, masa tu saya berumur dalam lingkungan 6 tahun, dipimpin oleh mak menyusuri tangga ini, masa tu tangga ni cuma tangga simen yang bergerutu. Anak tangganya sungguh banyak dan rapat2. Tapi yang ini semuanya dah baru.


Masih belum dapat meneka dimana lokasi tangga ini. Tengok ni, kalau turun kebawah pun masih ke ruang kosong juga. Tiada apa2 dibawah sana. Ah, " I am lost" macam Alice in Wonderlandlah plak rasanya ketika berada atas tangga ini. 


Jangan bimbang ketika berada diatas tangga ini. Saya tak sesat sebenarnya. Tangga ini adalah tangga lama menuju ke Pejabat Daerah Lipis, tempat naiknya berhampiran dengan D' Residen Cafe tempat saya beli mee kari semalam. Ni saya dalam perjalanan nak ke Pejabat Daerah Lipis. Saja saya menggunakan tangga ini untuk membangkitkan nostalgia zaman kanak2 mengikut mak menaiki tangga ini untuk bayar hasil tanah di Pejabat Tanah. Dan tujuan saya kali ini pun untuk bayar hasil juga. Nampak tangga ni macam klasik sangat dan amat menarik, jadi saya ambillah gambar untuk dikongsikan disini.


Dipertengahan tangga saya jumpa biji saga ini. Saya dongak keatas, ada dua atau tiga spesis tumbuhan nampaknya dan sampai sekarang saya masih belum kenal mana satu pokok saga, yang menjadi kebanggaan kereta nasional kita lalu diabadikan dengan nama Proton Saga. Oklah, boring tak pepagi ni cerita pasal tangga plak. Kalau rasa boring saya stop dulu kat sini. Nanti jumpa lagi yee, Wassalam.

Jenguklah juga kedai online kakmah.

Thursday, 29 December 2011

Warisan Yang Semakin Luput Ditelan Zaman.

Assalamualaikum,

Sallam ceria pagi Khamis.

Selaras dengan peredaran zaman, arus kemodenan dan pesatnya pembangunan sektor pembuatan dan kecanggihan teknologi, peralatan2 lama yang sering digunakan oleh nenek moyang kita dahulu kala semakin dilupakan. Usaha untuk menjaga atau mengekalkan peralatan-peralatan seperti ini amatlah penting untuk rujukan generasi akan datang. Saya kongsikan disini diantara peralatan2 yang munkin tidak dikenali lagi oleh anak cucu kita akan datang.

Ini kukur kelapa. Dulu2 kalau nak buat kuih koci atau batang buruk, kelapanya dikukur sendiri. Dikukur kasar2 supaya dapat merasakan teksture kelapanya. Guna kelapa muda sedang goncang dimasak dengan gula kabung. Intinya sangat sedap, lembut dan lemak. 


Ini pula peneran bubur cendol yang diperbuat daripada tempurung kelapa yang besar. Ditebuk menggunakan bo, atau ada juga dibuat menggunakan batang kayu yang diukir sendiri dan ditebuk. Bubur cendol atau bubur lior selalu dibuat jika ada kenduri bercukur rambut bayi atau majlis berderau menuai atau mengemping padi. 


Ini periok tembaga. Zaman dato nenek dulu2, mereka cuma guna periok tembaga ini apabila masak nasi atau gulai. Nasi yang dimasak didalam periok ini memang sedap, lembut dan mengurai, ditanak pula diatas dapur kayu. Zaman sekarang Chef Wan pun dah mula menggunakan periok ini untuk sesi masakannya, kerana beliau tahu apa istimewanya periok ini.


Ini pula batu giling atau disesetengah tempat memanggilnya sengkalan. Guna untuk menggiling lada kering, lada basah dan rempah ratus. Gulai yang dimasak menggunakan lada dan rempah ratus yang digiling memang sedap, kerana tidak berair seperti yang di kisar menggunakan mesen pengisar. Apabila digoreng lada dan rempah ratus terus masak dan garing berbanding dengan bahan yang dikisar, proses mengeringkan air membuatkan bahan rempah kehilangan rasanya yang asli.


Dan yang ini alat peneran putu mayam yang diperbuat dari batang kayu juga. Putu mayam dikaitkan dengan kaum India. Tapi sebenarnya putu mayam juga adalah makan tradisi orang Pahang. Ia dimakan dengan manisan atau misan kabung, sebelum dibuat gula kabung, atau dimakan dengan kari daging atau ayam. 

Setakat ini dulu. Semuga berjumpa lagi, wassalam.