Monday 28 February 2011

Majlis Meletak Kerja.

Assalamualaikum,

Petang semalam akak buat mesyuarat meletak kerja untuk majlis perkahwinan anak perempuannya pada 13-3 ini. Keh pun tak ketinggalan menghadiri majlis tersebut. Majlis yang akan diadakan ni istimewa sikit sebab dibuat secara gotong royong. Siap potong lembu lagi. Akak dengan abang ipar memang tak suka upah orang memasak (katering) walaupun anak2nya mencadangkan berbuat begitu. kata akak tak seronok. Mereka lebih suka mengekalkan tradisi bergotong royong sebab cara begitu lebih seronok, dapat berkerjasama dengan rakan taulan jauh dan dekat, boleh jemput saudara2 dekat awal2 sikit dapat bermesra dan berkenalan memandangkan zaman sekarang ni ada yang berpupu pun tak kenal antara satu sama lain. Keh pun tumpang seronok dengan cara begitu.

Jemputan lelaki wanita dijemput untuk memegang kerja-kerja yang berkaitan, orang lelaki untuk tugasan-tugasan yang berat, yang perempuan pula untuk tugasan2 yang ringan.


Akak yang duduk kepalanya betul-betul antara dua Tv, khusuk membincangkan sesuatu dengan rakan sejawatnya.


Keh pulak hadir sebagai tukang masak aja, tak pegang apa2 jawatan maklumlah keh adalah tuan rumah pada hari itu.



Meehoon yang dah siap dimasak dan sedia untuk dihadangkan kepada para tetamu selesai mesyuarat.

Tak ketinggalan budak techit cucu akak yang ke 4 ni berposing dengan spek mata biru kegemarannya .

Sekian, Wassalam.

Saturday 26 February 2011

Melepas Gian.

Assalamualaikum,

Trip to Kuantan Selasa lepas bolehlah dikatakan trip melepaskan gian. Bukan gian apa weh, cuma gian makan makanan kegemaran aja. Apa tak nya sepanjang masa di sana kome asik makan2 aja. mana yang masak, mana yang beli, mana yang makan kat sana.

Ini salah satu dari makanan yang di sediakan sendiri oleh anak perempuan keh yang semakin rajin mencuba masakan terbaru. Makanan yang kat atas tu namanya.... keh pun dah lupalah panjang sangat. makanan ala-ala Prancis sikit, diperbuat dari ubu kentang, bawang, tomato dan yang paling tak ketinggalannya mentega dan cheese. Dan ada lagi bahan2 lain yang keh tak sempat tengok masa dia memasaknya.

Tapi sedaplah dan mengenyangkan. Makanan ni kome buatkan sarapan pagi sebelum keluar ke bandar Kuantan untuk urusan resmi keh. Belum pun sempat sampai ke bandar Kuantan adik yang sekarang ni dah menjadi kuat makan juga menyebut pulak pasal makanan dalam claypot. Apa lagi keh pun teringat juga makanan kegemaran keh sizzling ( betul ke dak ngeja ginih) memang keh minat sangat makan sizzling, last keh makan di Giant Kota Damansara 2 tahun yang lepas. Tapi taklah berapa sedap macam keh makan di Maju Junction, ori sikit kata adik.


Selesai semua urusan kome pun bergeraklah ke Giant Kuantan untuk melepaskaan gian masing-masing. Menu keh sudah pastilah sizzling, tu gambo ada kat atas. Nak komen juga tentang rasa, macam keh buat sendiri kat rumah aja, nak kata sedap taklah sedap sangat tapi boleh makanlah. keh makan jugalah sampai habis.

Adik dengan kakak dia pulak makan menda ini, Chicken Chop, tapi ada plak sos lada hitam kat atasnya, sedap juga. Tak jadilah adik nak makan claypot yang dia sebut2 sebelumnya. Hari esoknya kome masak2 sendiri, pagi2 lagi keh buat gulai masam campur2, labu manis, terung dan tomato, lupa nok ambil gambo, lepas tu kakak buat plak muffin, tak ada gambo juga. Pendek kata trip to Kuantan kami kali ini adalah trip masak dan makan. Alhamdulillah Allah murahkan rezki kami, apa saja yang kami inginkkan Alhamdulillah, dengan izinnya kami dapat.

Sekian, Wassalam.

Monday 21 February 2011

Gulai Masam Keladi Minyak.

Assalamualaikum,

Kalau tengok batang kat bawah ni rasa-rasanya ada tak orang yang
terliur sangat nak memakannya, atau sudi nak memakannya.


Tapi kalau tengok yang kat bawah ni rasanya munkin ada juga yang teringin nak merasa masakan yang di buat menggunakan bahan ini. Walaupun batang keladi ini terkenal sebagai tumbuhan yang beracun dan gatal, jika tersilap memakannya secara mentah boleh menyebabkan gatal-gatal seluruh badan, radang didalam tekak dan boleh juga menyebabkan sesak nafas, tapi tidak semua keladi yang mengakibatkan gatal.


Keladi ada bermacam jenis, contohnya keladi kemahang yang mana hanya sulurnya sahaja yang boleh dimakan, tapi jika tidak mahir memasaknya atau cara mengambilnya tidak behati-hati keladi ini akan menjadi sangat gatal. Ada juga keladi hitam, spesis ini merupakan keladi yang sangat baik dan mudah untuk memasaknya dan dijamin tidak gatal. bahagian yang boleh dimakan pun hanyalah sulurnya. Ada juga keladi kemboja,jenis ini isinya boleh di makan. Boleh juga dibuat kuih dan pengat. Batangnya yang tua juga boleh dimakan, dibuat masak lemak atau sambal tumis belacan. Ada juga keladi yang dipanggil lambuk juga hanya batangnya sahaja yang digunakan untuk masakan.


Yang saya masak ini ialah keladi minyak. Mula tengok saya was-was juga takut kut-ktu gatal tapi kerana teringin sangat nak masak batang keladi, lama dah tak makan gulai masam keladi, saya beli sebatang kat pekan sari sabtu lepas. Pagi semalam saya buatkan gulai masam seperti diatas. Alhamdulillah rasanya langsung tak gatal, sedap, manis dan isinya kenyal ( lehek kata orang kampung) Inilah hasilnya. Kepada yang teringin nak mencuba resipi ada saya sediakan dibawah.


Gulai Masam Keladi.

Bahan-bahannya

1 batang keladi minyak
21/2 sudu tempoyak yang manis2 masam.
10 ulas cili padi ditumbuk lumat
10 tangkai daun kesom
10 ekor ikan bilis, belah buang perut.
1 camca teh kunyit serbuk
2 mangkuk air
1 keping asam gelugur
garam secukup rasa.

Cara

1. Bersihkan keladi, kupas ubinya dan buangkan kulit batangnya dan potong.
2. Tumbuk ikan bilis separuh hancur.
3. Masukkan tempoyak kedalam periok, gaulkan dengan 2 mangkuk air tadi.
4. Masukkan cili yang telah ditumbuk,kunyit, ikan bilis dan ubi keladi,
masak sehingga ubi separuh empuk.
5. Apabila ubi separuh empuk masukkan daun kesum, batang keladi dan asam gelugur.
6. Masukan garam secukup rasa dan masak sehingga ubi betul-betul empuk.
Apabila telah masak, angkat dan sejukkan beberapa jam sebelum dihidangkan.

Sekian selamat mencuba.

Wassalam

Saturday 19 February 2011

Mencarut.

Assalamualaikum,

Mencarut ialah menyebut nama-nama alat kelamin lelaki atau pun perempuan. Perbuatan mencarut ni amat sinonim dengan orang tua-tua yang sedang melatah. Biasanya perkataan pertama yang terkeluar dari mulut orang yang melatah ialah mencarut. Kalau yang melatah itu lelaki dia akan menyebut hak orang perempuan. Kalau perempuan pula yang melatah dia akan menyebut hak lelaki. Mengapa terjadi macam tu taklah diketahui puncanya.

Mencarut juga di lakukan semasa bertikam lidah dengan kawan-kawan atau dalam keadaan marah. Ada juga ibu-ibu yang memarahi anak mereka dengan mencarut-carutkan anak mereka.

Nampaknya budaya mencarut ini bukan sahaja diamalkan olah orang-orang dahulu tapi diwarisi juga oleh generasi zaman sekarang. Dimana-mana saja kita akan terdengar orang mencarut. Malah perkataan yang sememangnya tidak sopan dan tidak manis di tuturkan itu selamba sahaja diucapkan tak kira dimana juga. Malah oleh sesiapa sahaja baik yang tua maupun yang muda, baik lelaki mau pun perempuan.

Budaya mencarut juga dah menular kepada remaja-remaja termasuk pelajar-pelajar sekolah dan kanak-kanak yang masih bersekolah rendah. Mereka-mereka yang dah biasa mencarut ni tak segan-segan mencarut walaupun dikahalayak ramai.

Macam mana nak mengelakkan daripada diri daripada mencarut, terutamanya dikalangan budak-budak sekolah. Pertamanya elakkan berkawan dengan orang yang selalu kita dengar mencarut. Ibu bapa pun janganlah suka mencarut atau memarahi anak dengan mencarut kerana mencarut ini mudah ditiru terutamanya kanak2 yang masih kecil. Orang-orang awam yang suka mencarut cuba-cubalah berhenti kerana mencarut ini adalah suatu perbuatan yang tidak sopan serta merendahkan martabat kita.

Keh paling meluat kalau dengar orang mencarut.

Sekian Wassalam.

Friday 18 February 2011

Senyum Sejenak



Because there are many languages in the world

but all people smile in the same language .













Because there are many languages in the world

but all people smile in the same language .


Sekian Wassalam.



Thursday 17 February 2011

Kisah Wanita Yang Paling Baik Akhlaknya.

Assalamualaikum,

Saya baru saja habis membaca kisah ini melalui sebuah buku, rasanya kalau kita sebagai wanita biasa jarang dapat kita mencontohi keseluruhannya.Tapi rasanya baik juga kalau dapat saya kongsikan kisah ini dengan rakan2 blogger yang masih belum membacanya. Buku bertajuk Kisah-Kisah Wanita Teladan. Buku lama tapi ini baru pertama kali saya membacanya.

Kisahnya, pada suatu hari Siti Fatimah binti Muhammad S.A.W. puteri kesayangannya yang juga isteri Sayidina Ali bertanya kepada Rasulullah S.A.W.
"Ya Rasulullah S.A.W.! Siapakah wanita yang paling baik akhlaknya.?"
Jawab Rasulullah S.A.W., "Wahai puteriku Fatimah, pergilah engkau kerumah Siti Muth'iah, disana engkau akan mengetahui siapa wanita yang terbaik akhlaknya.

Siti Fatimah pun berangkat menuju rumah Siti Muth'iah dengan membaa seorang anaknya iaitu Hassan yang pada waktu itu masih kecil. Sesampainya dirumah Siti Muth'iah maka dia memberi salam pada wanita itu, sebelum pintu dibuka dilihatnya dari jendela siapa yang memberi salam, ternyata Siti Fatimah, akan tetapi kerana membaa anak kecil lelaki Siti muth'iah menolakknya secara halus agar anaknya dibawa pulang terlebih dahulu kerana walau bagaimanapun anaknya adalah seorang lelaki. Sesuai pesan suaminya iaitu tidak diizinkan menerima tetamu seorang lelaki walau saudaranya sekalipun.

Siti Fatimah kehairanan sejenak melihat didinding rumah terselit sebuah kipas, sebatang rotan dan sebatang senduk kecil yang bersih, yang baru kali ini dia melihat barang-barang tersebut, iaitu dirumah Siti Muth'iah.

Setelah Siti Muth'iah selesai menghidangkan makanan ala kadarnya, maka Siti Fatimah berbicara tentang maksud kedatanganya, lalu jawab Siti Muth'iah:

Perilaku saya sebanrnya tidaklah teramat istimewa, malahan Rasulullah S.A.W. lebih mengetahui akan segala-galanya dan saya hanya menuruti apa yang dianjurkan oleh beliau sebagaimana kewajipan saya sebagai seorang isteri, diantaranya:"

1. Saya tak dapat meninggalkan rumah jika suami sedang pergi.
2. Saya tidak beri izin tetamu lelaki masuk kerumah jika suami tidak ada.
3. Saya tidak akan berkeluh kesah jika suami tidak punya harta.
4. Saya berusaha agar suami saya senang dan cinta kepada saya.
5. Saya tidak cepat-cepat cemburu.
6. Saling menghargai dan mengerti antara kami berdua.

Mendengar keterangan Siti Muth'iah demikian, Siti Fatimah menjadi terharu hatinya. Kini ia balik bertanya: "Maaf ya Muthi'ah, ada sesuatu yang saya akan tanyakan, saya lihat ada kipas, ada rotan, ada senduk kecil sejak tadi menjadi perhatian saya. Apa gunanya benda-benda tersebut kesemuanya."
Kata Siti Muth'iah:
"Saya sengaja sediakan sebatang rotan, kipas dan sebatang senduk kecil, memang saya manafaatkannya buat kami berdua yakni untuk saya dan suami saya. Saya tahu seorang suami mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap isterinya dan kerana sayang kepada isterinya. Dia mencari nafkah sehari-hari walau keadaan panas terik tidak menjadi halangan baginya pergi ketempat jauh untuk mencari rezki.."

Oleh kerana itu sebagai ajaran Rasulullah S.A.W. bahawa saya harus taat pada suami saya, saya curahkan apa yang boleh pada diri saya demi untuk membahgiakan suami saya. Maka begitu nanti suami saya pulang saya akan berpakainan kemas, saya sambut suami saya dengan senyuman. Andaikata nampak wajah suami saya kusut kelihatannya saya sambut dengan ramah, saya tanyakan sebabnya. Maka begitu suami saya masuk saya bukakan bajunya dan sepatunya, saya gosok peluhnya dengan senduk kecil ini kemudian untuk menghilangkan rasa panas badannya lalu saya ambil kipas ini lalu saya kipasi dia .

Begitulah saya kerjakan ketika suami saya baru pulang. Kemudian setelah itu saya tanyakan apakah ia mahu mandi atau mahu makan dulu! Bila suami saya kata mahu mandi saya hantar suami saya kebilik mandi, saya membantu menuangkan air kebadannya . Maka jika suami saya minta digosokkan badannya saya kerjakan itu semua dengan penuh rasa cinta dan bahagia. Maka setelah selesai mandi saya sediakan pakaian persalinan untuknya. Begitulah saya kerjakaan setiap hari. Bila selesai makan dan selesai solatnya saya ambil rotan ini dan saya berkata kepada suami saya; Suamiku saya peganglah rotan ini. Ketika itu saya membuka baju, saya tidak malu-malu. Kata saya:
" Wahai suamiku, bilamana saya ada kesalahan dan kekurangan dalam melayani keinginanmu pukullah saya dari depan atau belakang."
Demikianlah saya kerjakan terhadap suami saya. Maka bila saya berbuat demikian terhadap suami saya lalu suami saya tiba-tiba memeluk saya dengan penuh mesra dengan raut muka yang berseri-seri dan terlontar dari mulutnya :
"Muth'iah isteriku sayang, mudah-mudahan ketaatan dan ketulusan hatimu terhadap suami akan mendapat rahmat disisi Allah Ta'ala."

Subhanallah, sanggupkah kita menghulurkan rotan kepada suami kita untuk memukul kita sesuai dengan dosa kita kepadanya.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Seandainya aku diperintahkan agar seseorang itu boleh sujud kepada seseorang lain, nescaya aku akan memerintahkan perempuan sujud kepada suaminya." (HR al-tarmizi)

Sekian Wassalam

Monday 14 February 2011

Sallam Maulidur Rasul



Assalamualaikum,

Sallam Maulidur Rasul buat semua rodong-rodong, marilah kita sama-sama memperbanyakkan selawat kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, dan marilah juga kita menghayati perjuangan Beliau dalam menegakkan syiar Islam, marilah juga kita jadikan Rasullullah Kekasih dan kerinduan kita.


Wassalam.

Sunday 13 February 2011

Jangan Pandang Orang Sebelah Mata


Assalamualaikum,

Lebih kurang pukul 9 pagi semalam saya menerima panggilan dari seorang yang bernama K, dia yang suruh saya panggil dia K semasa saya bertanyakan nama dia sebulan yang lalu semasa dia menelefon saya bertanyakan kelas komputer. Baru semalam dia menelefon saya menyatakan kesediaan dia untuk belajar. Saya membuat temujanji pukul 11.00 pagi untuk dia membuat pendaftaran. Dia bersetuju.

Lagi lima minit pukul 11.00 pagi dia menyatakan dia dah berada dihadapan kedai saya, sedangkan kedai masih belum dibuka saya mula rasa tak senang, kerja diluar masih banyak belum beres, dalam setengah jam lagi belum tentu siap. Saya katakan kepadanya datang semula pukul 11.30.

Tepat 11.30 sekali lagi dia menelefon, saya rasa bersalah dan sangat malu kerana tak menepati janji sedangkan saya berniaga. Sepatutnya orang berniaga seperti saya kena menepati masa untuk temujanji seperti itu kerana itulah rezki saya.

Akhirnya setelah lewat selama 10 minit lagi dari masa yang ditetapkan saya sampai juga kekedai. Sebaik saya membuka kedai seorang perempuan yang separuh umur masuk mengekori belakang saya. Rupanya seperti cina, dengan rambutnya yang keseluruhannya telah putih tapi diinaikan menjadi perang, tapi munkin dah lama diinaikan menjadikannya putih ditengah2nya. Dia berseluar getah yang agak ketat dan berbaju kemeja singkat. Secara jujur didalam hati saya berkata, "Siuman ke makcik ni." Tapi saya tetap memaniskan muka walaupun saya memandangnya secara sinis. ( Kejamnya saya melihat orang sebelah mata ) Saya hulurkan kerusi dan pelawa dia duduk. Saya tanyakan dia ini ke K yang telefon saya tadi. Dia menjawab ya. saya pandang dia keatas kebawah.

" Betul ke makcik ni" hati saya berbisik nakal.

" Boleh ke saya nak belajar Komputer?" tanyanya serba salah kerana diperhatikan sedemikian rupa oleh saya.

" Boleh, boleh. " Jawab saya pantas sambil menyembunyikan perasaan tak percaya saya kepada kesungguhannya.

Saya hulurkan dia sehelai borang untuk mendaftaran menjadi pelajar dikelas saya. Bila dia memulangkan borang kepada saya barulah saya tahu dia adalah orang cina dan umurnya telah menjangkau 49 tahun. ( K fasih berbahasa Melayu loghat kampung sehingga saya sendiri tak percaya dia orang cina. )Patutlah dia suruh saya panggil dia K. Setelah berbual dan bertanya lebih lanjut dengan dia barulah saya yakin K memang betul2 ingin belajar teknologi yang tidak ramai rakan sebayanya yang teringin untuk belajar kerana perasaan malu atau pun terasa tidak perlu tahu lagi tentang teknologi canggih ini.

Satu ayat yang paling saya suka keluar dari mulut K, " Saya dengki tengok kawan2 yang pandai komputer, " Dengki yang positif, dengki yang tidak memudaratkan orang lain. Akibat dari kedengkian tersebut K berusaha untuk belajar walaupun kesuntukan masa kerana bergelut dengan tugas mencari nafkah hidup.

Hari ini K memulakan kelasnya pukul 11.30 pagi. Hari ini sekali lagi saya terkantoi dan malu kerana semalam saya janji dengan K untuk memulakan kelasnya pukul 11.00 pagi. Apakan daya tugas yang lain terlalu mendesak membuatkan saya seorang yang tidak dapat menepati masa, ( semalam dan hari ini saja, hari lain tak..)

Sampai masa saya menulis entry ini iaitu dah pukul 4.20 petang K masih lagi tekun meneruskan pelajarannya, dan dan saya perhatikan setelah 4.30 jam dia duduk dikerusinya, dia merupakan seorang yang gigih dan mudah memahami apa yang saya ajarkan walaupun pada mulanya tadi saya kelaskan dia sebagai seorang yang buta komputer. Dia munkin akan berhenti cuma setelah saya katakan " ok kita sambung esok aja" sekejap lagi.

Kehadiran K dikelas saya yang merupakan pelajar yang paling senior yang pernah belajar disini membuatkan saya semakin bersemangat untuk meneruskan segala usaha yang saya rancangkan selama ini. Usia bukan penghalang untuk maju dan berjaya. tepuk dada tanya selera.

Terima Kasih K.

Sekian Dulu.
Wassalam.

Saturday 12 February 2011

Kelentung Kelentaang.



Assalamualaikum,

Ha ni lah gambar naga yang sedang menyerang Kompleks Centrepoint Lipis sekarang ni. Kelentung Kelantang, membingit ditelinga. Takut juga keh tadi, kut-kut naga tu menyerang kedai keh pulok. Maklum ajalah jiran2 keh ni semuanya orang cina. Nasib baik keh tak ada sampul merah bergantung kat pintu. Kalau tidak haru kedai keh kena serang.

Sekian Dulu,
Wassalam.

Friday 11 February 2011

Hobi Lama


Assalamualaikum,

Semua orang ada hobi masing-masing. Ada yang suka berkebun, tanam bunga, gubah bunga, kraftangan, memasak dan banyak lagi hobi2 yang ada sesetengahnya boleh dijadikan pendapatan sampingan, dan ada juga sekadar untuk memenuhi masa lapang.

Keh sendiri ada bermacam-macam hobi yang selalu dilakukan apabila ada masa lapang. Tapi sejak akhir2 ini keh langsung tak ada masa lapang menyebabkan keh terpaksa melupakan segala hobi yang pernah keh lakukan dulu.

Tapi semalam keh rasa macam nak memulakan semula segala hobi yang dah sekian lama keh tinggalkan. Jadi keh mulakan dengan hobi pertama ia itu mencantum perca kain. Hobi ini memang melekakan dan memerlukan masa yang agak panjang, maklumlah bila dah mula mencantum kain tu selagi tak siap jarang nak berhenti. Perca kain ni kalau dicantum lebar sedap dibuat selimut, sejuk dan selesa tambahan ianya menggunakan kain polyester, satin dan kain yang lembut2 sahaja.

Keh mula membongkar perca kain yang keh dah simpan lebih kurang 5/6 tahun lalu pada pukul 6.00 petang, keh dulu tukang jahit, jahit baju kurung dan baju melayu sahaja. Keh pun memulakan kerja mengukur dan menggunting. Leka betul, berhenti untuk tugas wajib aja lepas tu sambung semula sampai pukul 9.45 malam. Hasil nya keh dah menyiapkan satu bidang kain cantuman yang terdiri dari 80 keping perca yang berukuran 20 cm persegi setiap 1. Ada gambar kat bawah sebagai bukti.

Ni dah siap, tinggal sebidang lagi.
Laa tak ada warna merah rupanya, patutlah
pudar dan kelabu asap aja.

Dah selesai jahit perca tetiba plak keh rasa lapar. Tak tau menda nak makan, intai2 telor ada baki lapan biji lagi, majerin ada setengah kampit lagi (majerin pelangi aja) Gula, tepung semua ada, ok, sukat gula satu cawan, majerin pelangi 250gm, tepung gandum yang dah siap digoreng (kat rumah keh memang ada stok tepung yang dah siap digoreng untuk keh buat kuih bahulu,) 13/4 cawan, telor 5 biji, sapu loyang dengan majerin, panaskan oven 175c.

Tepat pukul 22.22 malam, ( siap tengok jam tu! ) keh pun pukul/kacau majerin dengan gula 5 minit aja ( guna senduk kayu hehe ) pecahkan telur pukul dalam mangkuk berasingan dan masukkan dalam adunan majerin separuh, pukul adunan dalan 2 minit dan masukkan separuh lagi dan pukul/ kacau hingga sebati. Masukkan vanilla dan tepung yang dah diayak dengan 1/2 camca teh B/P. Kacau dan masukkan dalam loyang dan bakar. Setengah jam kemudian:-

Inilah dia hasilnya, walaupun ada bubble sikit atasnya
dan hitam2 sikit, tapi sedap.
Balik petang ni kalau tak ada apa-apa program lain keh akan siapkan selimut perca kain, esok cuci dan boleh pakai selimut baru untuk menggantikan selimut lama yang dah koyak2.

Apa plak hobi anda?? Sharelah.

Sekian dulu.
Wassalam.

Wednesday 9 February 2011

Beg Tangan Manik

Assalamualaikum,

Satu ketika dulu, beg tangan manik seperti dalam gambar dibawah popular sangat dikalangan wanita2 terutamanya wanita kelas pertengahan. Harganya satu boleh mencecah ratusan ringgit.
Sebagai orang yang sentiasa mengikut trend semasa ( masa itulah, sekarang tak lagi) keh pun nak juga merasa bergaya dengan beg termahal dalam pasaran. Tapi nak beli rasa membazir plak mahal sangat sampai 2/3 ratus ringgit.

Cara termudah nak merasa pakai beg manik begitu ialah dengan membuatnya sendiri. Dengan tunjuk ajar toke kedai yang membekalkan manik-manik dan segala peralatan nya keh pun membuatnya sendiri. ( belajar percuma aja, tapi kena beli manik dikedai dia)

Ambil masa juga keh nok menyiapkannya, satu beg dalam 3 bulan juga, bukan apa buat sambil lewa aja. Siap juga lah dua buah beg macam dalam gambar diatas tu. Tapi bila beg keh siap, masa tu trend orang berbeg manik dah berakhir, maka jadilah beg manik keh barang antik yang keh simpan didalam almari cermin.

Masa sibuk-sibuk dua tiga kali pindah dulu keh simpan aja dalam kotak, langsung tak berbuka. Tadi semasa mengemas dan membongkar kotak2 yang sekian lama tak dibuka keh terjumpalah beg2 yang masih cantik dan kemas lagi ini. Apalah nak dibuat dengan beg ini yee..dah jadi macam Quran buruklah pulak. Nak dibuang sayang, nak disimpan memenuhkan ruang.

Sudahnya sangkut aja kat dinding buat perhiasan. Itulah ruginya kalau nak memakai pakaian atau hiasan yang mengikut musim, habis musim benda tu semua akan jadi ketinggalan zaman.

Sekian Dulu
Wassalam.

Tuesday 8 February 2011

Emping

Assalamualaikum,

Munkin ada yang tak kenal apa itu emping malah ada juga yang tak pernah dengar langsung perkataan Emping. Emping merupakan makanan ruji untuk sarapan pagi masyarakat melayu satu masa dulu. Ianya diperbuat daripada padi muda yang digoreng sehingga menjadi bertih, kemudian ditumbuk dengan lesung kaki supaya beras dan bertihnya menjadi leper seterusnya ditampi dengan gadang (Nyiru ) untuk mengasingkan sekam ( kulit padi ) dengan emping sama seperti mengasingkan beras dengan sekam secara tradisional.

Walaupun emping boleh dimakan begitu sahaja tapi untuk menjadikannya lebih enak dimakan ianya boleh diolah menjadi makanan yang begitu lazat dan berkhasiat. Diantaranya, dijadikan wajik, digaul dengan kelapa parut dan dijadikan serawa ( Emping berkuah santan dan telur).


Ini sarapan keh pagi tadi, emping lemak, emping yang digaul dengan kelapa parut dengan sedikit garam dan sedikit air masak. Kesemua bahan di ramas supaya emping menjadi lembut dan kenyal. Memang sedap dan sesuai untuk dijadikan sarapaan pagi sekali gus boleh mengenyangkan.

Nak cuba, emping boleh didapati dari pekan sari Kuala Lipis, dan Jerantut dan Raub. Temerloh dan Kuantan dan tempat lain tak pasti, tapi diKelantan banyakk.. Selamat mencuba.

Sekian Dulu.
Wassalam.


Saturday 5 February 2011

Menu Malam Tadi

Assalamualaikum,

Lama dah tak masak-masak dan makan2 . Masa jaga bayi, masak ala kadar aja, makan pun ikut dan aja, maklumlah kesuntukan masa, banyak perkara lain lagi yang perlu diambil berat. Tengah hari semalam Kumprinx and Wife datang hantar ayam mentah 1/2 ekor. Keh terus offer mereka makan malam bersama.

Dalam kepala berkira-kira apa nak masak malam tu, nak masak sup ayam pun rasanya dah jenuh, hari2 makan sup ayam, nak masak lemak rasanya tak berapa baik untuk makan malam, nanti banyak lemak terkumpul kerana pembakaran lemak kurang terjadi diwaktu malam.

Sewaktu berjalan-jalan di pasar malam sambil mencari-cari bahan untuk dimasak pada malam tu, timbullah idea untuk mencuba satu resipi yang pernah keh cipta berapa bulan yang lalu tapi belum sempat dicuba lagi. Keh pun terus saja membeli bahan2 yang diperlukan untuk memasak resipi tersebut yang keh beri nama "AYAM MUHIBAH". Memandangkan resipi ini adalah resipi lengkan dengan segala rempah ratus dan sayur-sayurannya di masak sekali maka nama ini keh rasa paling sesuai untuk resipi yang baru keh cipta ini. Walaupun ianya nampak seperti masakan cina sedikit tapi ianya mengandungi rempah ratus menjadikan ianya sesuai dijadikan makanan orang melayu.


Langkah Pertama

Ayam perlu digorang dulu didalam kuali yang leper dengan bahan yang telah ditumis terlebih dahulu untuk meratakan minyak dan membolehkan ayam masak serentak.


Langkah Dua

Taburkan segala rempah ratus yang telah di tumbuk hancur, bawang dan bahan2 lain yang diperlukan. Air tidak diperlukan banyak untuk resipi ini, cukup sekadar dengan menutupnya selama 10 minit air dari isi ayam yang akan bercampur dengan rempah ratus dan bahan-bahan lain akan menjadikan resipi ini cukup enak.


Langkah Tiga

Masakan yang telah masak, sedia untuk dimakan panas-panas bersama roti, lempeng atau pun nasi. Malam tadi kami epat beranak memilih unruk dimakan bersama nasi putih dan salad sayuran dan buahan segar.

Salad sayuran dan buahan segar.


Salad sayuran dan buahan segar ini juga kadang-kadang
keh makan dengan bubur oat tawar.

Resipi Ayam Muhibah akan keh muatkan didalam blog resipi keh yang sedang didalam perlaksanaan, dan akan siap tidak berapa lama lagi.

Sekian, Jumpa Lagi.
Wassalam.

Friday 4 February 2011

kakak Dah Dapat Adik


Assalamualaikum,



Kakak dah dapat adik lelaki, ini yang membuatkan keh bercuti selama 2 bulan. Ini je gambar yang ada.

Sekian, Wassalam.

Tuesday 1 February 2011

I Am Back

Assalamualaikum,

Alhamdulillah setelah bercuti hampir dua bulan kini saya kembali lagi untuk aktif berblog. Salam kepada semua rodong2 blogger, pengunjung2 blog saya yang sentiasa singgah disini walaupun log ini tak berupdate sekian lama. Terima kasih kerana sudi singgah di blog lako ni, insya Allah lepas ni saya akan aktif semula.

Rasanya belum terlambat lagi nak mengucapkan Solamat Tahun Baru kepada semua rodong2 walaupun hari ini dah masuk bulan kedua kita berada didalam tahun 2011. Apakah anda semua dah bersedia untuk menghadapi cabaran tahun baru dengan segala kemunkinan baru. pastinya semua sudah bersedia kan, kerana masuknya tahun baru bermakna bertambahnya usia kita dan bertambahnya kematangan kita,semuga tahun baru ini menjanjikan kita kejayaan yang cemerlang dalam apa juga aktiviti dan usaha yang akan kita lakukan.

Sehingga berjumpa lagi dilain entry, salam ingatan buat semua yang membaca entry permulaan tahun 2011 ini.

Sekian, Wassalam.